Sunday, September 26, 2010

PMR 2010 BERMULA 5 HB OKTOBER 2010. SILA BERSEDIA DAN SELAMAT MENGHADAPINYA
BAHAGIAN 1 : KARANGAN BERPANDU

Penulisan Karangan berpandu/ berdasarkan bahan rangsangan

1. Panjangnya karangan berpandu yang ditulis hendaklah dalam lingkungan 200-250 patah perkataan.
2. Karangan ini sebaik-baiknya hendaklah disiapkan dalam masa 45 minit.
3. Karangan ini memperuntukkan 30 markah.
4. Karangan ini mesti mempunyai pendahuluan, isi dan penutup.
5. Pelajar digalakkan menyelitkan unsure-unsur keindahan bahasa seperti peribahasa, ungkapan, cogan kata dan sebagainya.


Strategi Penulisan Karangan Berpandu

1. Kenal pasti kehendak soalan berdasarkan tema soalan.
2. Tulis karangan tersebut dalam 5 atau 6 perenggan meliputi perenggan pendahuluan, perenggan isi dan perenggan penutup.
3. Jenis-jenis ayat yang terdapat dalam setiap perenggan tersebut adalah seperti berikut:-
a) Perenggan pengenalan hendaklah terdiri daripada 3-4 ayat rangsangan dan satu ayat arahan. Ayat rangsangan ialah ayat yang berkaitan dengan tema atau ayat yang menyentuh tema secara umum, manakala ayat arahan ialah ayat yang mempunyai kata kunci soalan atau ayat yang menunjukkan hala tuju karangan.

b) Perenggan isi terdiri daripada ayat judul, ayat huraian, ayat contoh dan ayat penegas. Ayat judul ialah ayat isi utama, iaitu ayat yang menyatakan isi penting karangan tersebut. Ayat huraian ialah ayat yang menjelaskan isi karangan. Ayat contoh pula ialah ayat yang memasukkan contoh bagi memperkukuhkan isi yang dikemukakan. Ayat penegas ialah ayat yang memberikan penegasan tentang isi dan huraian yang dikemukakan dalam perenggan tersebut.


c) Perenggan penutup terdiri daripada ayat kesimpulan, ayat pendapat, ayat penilaian, ayat cadangan, ayat harapan dan sebagainya. Ayat kesimpulan ialah ayat yang memberikan pendapat secara keseluruhan tentang karangan yang ditulis. Ayat penilaian terdiri daripada ayat yang membuat penilaian tentang sesuatu isu atau perkara. Ayat cadangan pula mengandungi unsur saranan atau cadangan untuk mengatasi atau membuat sesuatu. Ayat harapan ialah ayat yang mengandungi harapan penulis berkaitan sesuatu cadangan.





BAHAGIAN A : Karangan Berpandu/ Berdasarkan Bahan Rangsangan


Pengenalan

1. Karangan bahagian A merupakan karangan yang terdapat dalam kertas satu dan wajib dijawab oleh semua calon.
2. Karangan ini ditulis berdasarkan bahan rangsangan yang diberi. Bahan-bahan rangsangan yang dikemukakan itu berupa:
-gambar tunggal, gambar bersiri, jadual, iklan, ilustrasi, kartun, pelan, petikan., gambarajah, catatan.
3, Karangan ini untuk menilai tahap kefahaman pelajar terhadap bahan
rangsangan yang diberi, menilai kecekapan dalam membuat tafsiran dan
menganalisis bahan rangsangan di samping menilai tahap pengetahuan tentang
isu-isu semasa.
4. Berdasarkan bahan rangsangan yang diberi, pelajar diminta menulis karangan
yang panjangnya antara 200 hingga 250 patah perkataan.

Panduan Menulis Karangan Berdasarkan Bahan Rangsangan

1. Apabila membaca arahan soalan, pelajar perlu menentukan tema. Tema ditunjukkan melalui tajuk gambar yang diberi.
2. Berdasarkan soalan, pelajar dapat mengenal pasti kata kunci karangan atau pun kehendak soalan. Contohnya:-
“Huraikan pendapat anda tentang usaha-usaha/langakah/cara/kaedah….
“Huraikan pendapat anda tentang amalan membaca…”
Pelajar dikehendaki membuat huraian berdasarkan kehendak soalan sahaja.
3. Karangan ini mesti mengandungi pendahuluan, isi dan penutup.
4. Sekurang-kurangnya tiga isi yang lengkap dikemukakan dengan contoh dan huraian yang sesuai.
5. Pelajar-pelajar dinasihatkan membuat rangka karangan supaya pelajar dapat menulis karangan dengan lebih baik.
6. Pelajar juga diminta menulis kata-kata hikmat, peribahasa dan rangkai kata menarik di dalam karangan ini.

Pemarkahan

1. Markah penuh 30 markah
2. Pembahagian atau pecahan markah adalah seperti berikut:-
Cemerlang - 26 -30 markah
Kepujian - 20 -25 markah
Memuaskan - 15 -19 markah
Kurang memuaskan - 10-14 markah
Pencapaian minima - 01-09 markah.
3. Pemarkahan diberi berdasarkan
(a) Sama ada karangan menepati, kurang menepati atau tidak menepati bahan rangsangan yang diberi.
(b) Bahasa mesti gramatis, Penilaian dibuat berdasarkan kata dan ayat, tanda bacaan, ejaan dan kosa kata.
(c) Penggunaan penanda wacana diambil kira sama ada lengkap, masih lengkap, atau kurang lengkap.
(d) Unsur-unsur bahasa perlulah bervariasi dan menggunakan ungkapan yang menarik.
(e) Idea perlulah relevan dengan bahan rangsangan yang diberi.