Sunday, May 15, 2011

Selamat hari guru buat rakan-rakan guru di seluruh tanah air

Tuesday, March 15, 2011

Selamat bercuti buat warga MRSM Kota Putra tetapi bagiu pelajartingkatan 3 dan 5 selamat mengikuti kem cuti sekolah dari 14-18 hb Mac 2011. Pada 20-23 Mac 2011 MRSM Kota Putra menjadi tuan rumah kejohanan pencak silat MRSM se-Malaysia. Selamat Maju Jaya.
Latihan 4: Punca-punca berlakunya kemalangan jalan raya.

Pendahuluan:

Boleh dikatakan saban hari apabila kita membaca akhbar, kita dihidangkan dengan kemalangan jalan raya. Keadaan lebih kerap menjelang musim perayaan. Pelbagai usaha telah dijalankan, khususnya oleh Jabatan Pengangkutan Jalan dan Polis Diraja Malaysia, tetapi kadar kemalangan jalan raya terus meningkat.

Isi karangan:

1.Punca kecuaian manusia
- pemandu memandu laju
-kurang penumpuan terhadap pemanduan, guna telefon bimbit, mendengar muzik
yang kuat dan berbual-bual dengan rakan di sebelah.
-memandu dalam keadaan mabuk
- sikap negatif pemandu – menjadikan jalan raya medan untuk berlumba

2. Keadaan jalan raya yang tidak memuaskan
- jalan raya berlubang-lubang
- jalan bengkang-bengkok dan banyak selekoh berbahaya
- Jalan raya licin selepas hujan dan digenangi air kerana tidak rata.

3. Kenderaan tidak diselenggara dengan baik
- Kenderaan dipandu tanpa dipastikan sama ada brek berfungsi dengan baik
Dan tayar berbunga atau tidak.
- Kenderaan yang tidak berada dalam keadaan baik akan mengganggu
pemanduan dan boleh mengakibatkan kemalangan.

Kesimpulan :

Bagi mengatasi masalah ini, para pemandu kenderaan hendaklah sayang akan nyawa dan keluarga. Jika ingin cepat sampai, pengurusan masa perlu dilakukan dengan baik dan boleh bertolak awal. Fikirlah tentang orang tersayang kerana kita mampu mengubahnya. Jika sikap berhati-hati di jalan raya tidak diamalkan tentukan kemalangan yang akan ditempa. Slogan pandu cermat jiwa selamat perlu dijadikan amalan dalam hidup.
Latihan 3: Huraikan pendapat anda tentang isu gejala samseng di sekolah.

Pendahuluan:

Sejak akhir-akhir ini jenayah gengsterisme semakin menjadi-jadi. Hampir setiap hari ada-ada sahaja berita yang disiarkan di media massa tentang jenayah gengsterisme yang berlaku dalam kalangan remaja. Perkara yang membimbangkan ialah kegiatan jenayah gengsterisme ini dilakukan oleh remaja yang masih bersekolah dan masih ‘hijau’.

Isi karangan: (punca-punca)

1. Kurang mendapat kasih sayang dan perhatian ibu bapa
- jiwa memberontak ingin disayangi dan diberi perhatian. Jika tidak dapat,
remaja akan melakukan sesuatu di luar kawalan seperti bertindak ganas.

2. Kurang diberi didikan agama dan moral
- semasa kecil, mungkin penghayatan nilai agama tidak dititikberatkan
oleh ibu bapa- kerana kesibukan.
- kurang nilai murni tentang nilai kasih sayang, hormat- menghormati
perasaan orang lain dan sebagainya.

3. Pengaruh rakan sebaya
- memilih kawan yang tidak bermoral
- remaja lebih rapat dengan rakan sebaya berbanding dengan ibu bapa.
- ada sifat cabar-mencabar dalam kalangan rakan-rakan – menimbulkan
kegiatan gengsterisme.

4. Peranan media massa
- tayangan filem dari Barat yang memaparkan keganasan
- filem tiada tapisan
- unsur-unsur jenayah daripada internet.

Kesimpulan:
Jenayah gengsterisme merupakan “duri dalam daging” bagi negara. Oleh itu semua pihak haruslah mengambil inisiatif bagi mengatasi masalah ini. Sekiranya semua pihak bekerjasama, jenayah gengsterisme akan dapat diatasi, bak kata pepatah, “bersatu teguh, bercerai roboh”. Jika jenayah gengsterisme ini dibiarkan berputik, nescaya gejala ini akan berleluasa. Apabila seorang remaja yang terlibat, kemungkinan banyak yang akan mengikutinya. Bak kata pepatah, seekor kerbau membawa lumpur, semuanya akan terpalit
BAHAGIAN 1 : KARANGAN BERPANDU

Penulisan Karangan berpandu/ berdasarkan bahan rangsangan

Panjangnya karangan berpandu yang ditulis hendaklah dalam lingkungan 200-250 patah perkataan.
Karangan ini sebaik-baiknya hendaklah disiapkan dalam masa 45 minit.
Karangan ini memperuntukkan 30 markah.
Karangan ini mesti mempunyai pendahuluan, isi dan penutup.
Pelajar digalakkan menyelitkan unsure-unsur keindahan bahasa seperti peribahasa, ungkapan, cogan kata dan sebagainya.


Strategi Penulisan Karangan Berpandu

Kenal pasti kehendak soalan berdasarkan tema soalan.
Tulis karangan tersebut dalam 5 atau 6 perenggan meliputi perenggan pendahuluan, perenggan isi dan perenggan penutup.
Jenis-jenis ayat yang terdapat dalam setiap perenggan tersebut adalah seperti berikut:-
a) Perenggan pengenalan hendaklah terdiri daripada 3-4 ayat rangsangan dan satu ayat arahan. Ayat rangsangan ialah ayat yang berkaitan dengan tema atau ayat yang menyentuh tema secara umum, manakala ayat arahan ialah ayat yang mempunyai kata kunci soalan atau ayat yang menunjukkan hala tuju karangan.

b) Perenggan isi terdiri daripada ayat judul, ayat huraian, ayat contoh dan ayat penegas. Ayat judul ialah ayat isi utama, iaitu ayat yang menyatakan isi penting karangan tersebut. Ayat huraian ialah ayat yang menjelaskan isi karangan. Ayat contoh pula ialah ayat yang memasukkan contoh bagi memperkukuhkan isi yang dikemukakan. Ayat penegas ialah ayat yang memberikan penegasan tentang isi dan huraian yang dikemukakan dalam perenggan tersebut.


c) Perenggan penutup terdiri daripada ayat kesimpulan, ayat pendapat, ayat penilaian, ayat cadangan, ayat harapan dan sebagainya. Ayat kesimpulan ialah ayat yang memberikan pendapat secara keseluruhan tentang karangan yang ditulis. Ayat penilaian terdiri daripada ayat yang membuat penilaian tentang sesuatu isu atau perkara. Ayat cadangan pula mengandungi unsur saranan atau cadangan untuk mengatasi atau membuat sesuatu. Ayat harapan ialah ayat yang mengandungi harapan penulis berkaitan sesuatu cadangan.





BAHAGIAN A : Karangan Berpandu/ Berdasarkan Bahan Rangsangan


Pengenalan

1. Karangan bahagian A merupakan karangan yang terdapat dalam kertas satu dan wajib dijawab oleh semua calon.
2. Karangan ini ditulis berdasarkan bahan rangsangan yang diberi. Bahan-bahan rangsangan yang dikemukakan itu berupa:
-gambar tunggal, gambar bersiri, jadual, iklan, ilustrasi, kartun, pelan, petikan., gambarajah, catatan.
3, Karangan ini untuk menilai tahap kefahaman pelajar terhadap bahan
rangsangan yang diberi, menilai kecekapan dalam membuat tafsiran dan
menganalisis bahan rangsangan di samping menilai tahap pengetahuan tentang
isu-isu semasa.
Berdasarkan bahan rangsangan yang diberi, pelajar diminta menulis karangan
yang panjangnya antara 200 hingga 250 patah perkataan.

Panduan Menulis Karangan Berdasarkan Bahan Rangsangan

1. Apabila membaca arahan soalan, pelajar perlu menentukan tema. Tema ditunjukkan melalui tajuk gambar yang diberi.
2. Berdasarkan soalan, pelajar dapat mengenal pasti kata kunci karangan atau pun kehendak soalan. Contohnya:-
“Huraikan pendapat anda tentang usaha-usaha/langakah/cara/kaedah….
“Huraikan pendapat anda tentang amalan membaca…”
Pelajar dikehendaki membuat huraian berdasarkan kehendak soalan sahaja.
3. Karangan ini mesti mengandungi pendahuluan, isi dan penutup.
4. Sekurang-kurangnya tiga isi yang lengkap dikemukakan dengan contoh dan huraian yang sesuai.
5. Pelajar-pelajar dinasihatkan membuat rangka karangan supaya pelajar dapat menulis karangan dengan lebih baik.
6. Pelajar juga diminta menulis kata-kata hikmat, peribahasa dan rangkai kata menarik di dalam karangan ini.

Pemarkahan

1. Markah penuh 30 markah
2. Pembahagian atau pecahan markah adalah seperti berikut:-
Cemerlang - 26 -30 markah
Kepujian - 20 -25 markah
Memuaskan - 15 -19 markah
Kurang memuaskan - 10-14 markah
Pencapaian minima - 01-09 markah.
3. Pemarkahan diberi berdasarkan
(a) Sama ada karangan menepati, kurang menepati atau tidak menepati bahan rangsangan yang diberi.
(b) Bahasa mesti gramatis, Penilaian dibuat berdasarkan kata dan ayat, tanda bacaan, ejaan dan kosa kata.
(c) Penggunaan penanda wacana diambil kira sama ada lengkap, masih lengkap, atau kurang lengkap.
(d) Unsur-unsur bahasa perlulah bervariasi dan menggunakan ungkapan yang menarik.
(e) Idea perlulah relevan dengan bahan rangsangan yang diberi.