Friday, November 12, 2010

Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian buat satu rumusan tentang punca-punca guru bertindak agresif terhadap para pelajar dan kesannya kepada pelajar. Panjang rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Sejak akhir-akhir ini media massa kerap memaparkan kes guru bertindak kasar atau agresif terhadap pelajar. Fenomena ini tidak boleh dipandang ringan. Walaupun begitu kita tidak boleh menghukum para guru dengan sewenang-wenangnya. Sesuatu perkara yang berlaku pasti ada puncanya. Sistem pendidikan masa kini semakin mencabar. Ia perlu seiring dengan kemajuan dan keperluan negara. Oleh itu guru perlu menyediakan bahan-bahan pengajaran dengan pelbagai kemahiran dan pengetahuan supaya dia tidak tercicir. Ini menyebabkan sebahagian guru berasa tertekan dengan beban kerja tetapi guru tidak boleh mengambil cuti beberapa hari dengan alasan ada tekanan kerja. Mungkin guru ada masalah dengan kerjanya atau masalah di rumah. Dalam keadaan seperti itu, lebih baik para pelajar mendiamkan diri dan tidak mencari pasal.

Guru bertindak agresif kerana ingin mengawal keadaan kelas yang kadang-kadang riuh rendah seperti di pasar. Lagipun jumlah pelajar di dalam kelas terlalu ramai, sukar bagi guru mengawal kelas. Memang tindakan guru kadang-kadang agak keterlaluan, tetapi pihak pelajar juga sepatutnya memandang serius apabila guru memberi amaran atau arahan. Guru bertindak agresif apabila arahan dan amarannyan tidak diendahkan. Hal juga berpunca daripada sikap pelajar yang kurang sopan, tidak menghormati guru, biadab dan melawan cakap guru. Jarang-jarang guru bertindak agresif secara melulu atau spontan. Biasanya guru memberi peringatan atau amaran terlebih dahulu.

Pelajar kerap kali terlupa bahawa terdapat banyak guru di sekolah dan guru-guru itu pula berlainan perangainya. Ada guru yang tidak ambil kisah apabila pelajar bising, ada juga yang akan menegur dan ada juga yang menangis apabila keadaan kelas tidak terkawal. Guru kadang-kadang terlepas cakap dan mungkin berasa malu untuk menarik balik kata-katanya. Apabila terdapat pelajar yang melanggar peraturan, guru berkenaan pun mengotakan ‘janjinya’ itu. Salah satu sebab guru bertindak agresif adalah kerana berasa tidak puas hati dengan bentuk hukuman daripada pihak guru disiplin atau pihak pengurusan. Mungkin guru tersebut berasa hukuman yang pihak berkenaan berikan tidak setimpal dengan kesalahan yang dilakukan oleh pelajar itu lalu menghukumnya lagi.

Kesimpulannya, hanya orang yang marah dan tidak berfikir panjang sahaja yang akan bertindak agresif. Keguruan merupakan profesion yang memerlukan tahap kesabaran yang tinggi. Walau bagaimanapun, kesabaran ini kerap dicabar oleh tindakan yang berbentuk provokasi daripada pelajar-pelajar. Sekiranya guru dapat bertenang apabila menghadapi situasi yang tegang itu, tentulah guru boleh berfikir dengan lebih rasional, lebih matang dan lebih tepat dalam tindakannya. Ada kalanya lebih baik guru beredar sahaja dari situasi yang sangat mencabar kesabaran itu untuk mencari ketenangan. Pelajar yang melakukan salah laku tidak seharusnya dibiarkan sahaja.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana ‘Pandangan Pelajar: Mengapakah Guru Bertindak Agresif’,Pendidik, Bil 16- 2005)


Soalan 2 (a) Petikan Umum

Berdasarkan petikan di atas, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri

(i) Huraikan maksud rangkai kata tindakan yang berbentuk provokasi
berdasarkan petikan di atas. [2 markah]

(ii) Apakah tindakan yang harus dilakukan oleh guru dalam menghadapi
situasi yang tegang itu? [3 markah]

(iii) Sebagai pelajar, bagaimanakah anda dapat membantu mengatasi masalah
guru yang bertindak agresif ini? [4 markah]

2 comments:

  1. assalamualaikum cikgu, cikgu ada sampel jawapan tak? saya amat memerlukannya ... :)


    ReplyDelete
  2. Selamat Sejahtera Cikgu, ada sampel jawapan tak ? Saya memerlukannya

    ReplyDelete