Tuesday, May 25, 2010

Amalan Terbaik Dalam Pengajaran Ringkasan PMR

Kemahiran yang perlu dikuasai:

1. Mengenal pasti tugasan soalan

Dalam soalan ringkasan, tugasan soalan ialah selepas perkataan tentang sehingga ayat itu berakhir. Lihat soalan contoh di bawah:

Berdasarkan petikan di bawah, tulis sebuah ringkasan tentang amalan-amalan baik dalam pemakanan. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan.

Dalam soalan di atas, calon mesti memfokus hanya kepada amalan-amalan baik dalam pemakanan tatkala mengesan isi dalam petikan. Pastikan calon betul-betul memahami maksud tugasan tersebut bagi mengelakkan mereka tersasar.

2. Patuhi had perkataan

Dalam soalan ringkasan, jelas sekali had perkataan ialah 80 patah perkataan. Dengan yang demikian, calon jangan sekali-kali melebihi had tersebut kerana perkataan yang melebihi had perkataan TIDAK dinilai oleh pemeriksa. Calon mesti membilang perkataan dalam skrip ringkasan mereka berpandukan panduan yang berikut:
• Perkataan yang dikira sebagai satu perkataan:
- nama khas (Kota Bharu)
- perkataan berulang/kata ganda (cara-cara)
- penggunaan kata depan di dan ke (di sana, ke atas)
- tarikh yang ditulis dengan ayat atau angka
- angka yang ditulis dengan nombor atau perkataan
- gelaran (Yang Amat Berhormat)
3. Memilih ayat yang menepati tugasan

Calon mestilah bijak menganalisis setiap ayat dalam petikan untuk menentukan sama ada ayat-ayat dalam petikan itu menjawab tugasan atau tidak. Lihat contoh di bawah:
[Ayat-ayat di bawah ditulis dalam bentuk pemerengganan. Penulis membuat pemenggalan ayat untuk tujuan analisis]

TUGASAN: AMALAN-AMALAN BAIK DALAM PEMAKANAN

Makanan yang berkhasiat dan seimbang penting kepada semua orang. Hal ini demikian kerana kita memerlukan tenaga untuk aktiviti fizikal. Kita juga akan lebih cergas menjalani aktiviti harian. Amalan pemakanan dan kesihatan mempunyai kaitan yang rapat. Kesihatan tubuh badan bukan sahaja dipengaruhi oleh makanan yang seimbang dan berkhasiat semata-mata malah corak dan amalan pemakanan sehari-hari turut memberikan kesan yang besar. Makan dalam keadaan selesa dan tenang merupakan tabiat yang baik. Selain itu, kita perlu makan pada masa yang sesuai. Kegagalan berbuat demikian akan mempengaruhi kesihatan seseorang. Kebanyakan kita beranggapan bahawa aspek pengambilan makanan merupakan suatu perkara yang tidak penting. Sebenarnya, kita mesti memastikan bahawa jadual makan perlu teratur dan kita wajar makan dalam kuantiti yang sedikit untuk kekal sihat. Kegemukan atau obesiti merupakan kesan daripada sikap tidak mengawal makan. Makan setelah kita berasa lapar seharusnya menjadi amalan. Ibu bapa harus menanam sikap tersebut ketika anak-anak masih kecil lagi. Kita perlu mengambil sayur-sayuran hijau dan buah-buahan untuk memastikan bahawa kita mengamalkan diet seimbang. Ada dalam kalangan kita pula yang menggemari makanan yang telah diproses seperti mi segera dan makanan dalam tin. Makanan seperti ini kurang zatnya kerana telah melalui tempoh masa yang lama dan juga mengandungi bahan kimia. Oleh itu, pengambilan makanan yang segar amat penting untuk memastikan makanan tersebut membekalkan zat yang diperlukan oleh tubuh badan. Kita juga perlu mengawal atau mengurangkan pengambilan makanan atau minuman yang tinggi kandungan gula dan garamnya. Kegagalan mengambil berat tentang tabiat makan yang tidak betul akan mengundang padah. Namun inilah yang menjadi masalah kebanyakan masyarakat kita. Mereka seolah-olah tidak menyedari bahawa makanan yang seimbang dapat mempengaruhi kehidupan kita.

4. Menyunting ayat yang menepati tugasan

Kemahiran menyunting ayat amat penting untuk membezakan antara idea utama dan huraian idea.

i. Makan dalam keadaan selesa dan tenang merupakan tabiat yang baik.
[Idea Utama] [Huraian Idea]

ii. Selain itu, kita perlu makan pada masa yang sesuai.
iii. Sebenarnya, kita mesti memastikan bahawa jadual makan perlu teratur dan kita wajar makan dalam kuantiti yang sedikit untuk kekal sihat.
iv. Makan setelah kita berasa lapar seharusnya menjadi amalan.
v. Kita perlu mengambil sayur-sayuran hijau dan buah-buahan untuk memastikan bahawa kita mengamalkan diet seimbang.
vi. Oleh itu, pengambilan makanan yang segar amat penting untuk memastikan makanan tersebut membekalkan zat yang diperlukan oleh tubuh badan.
vii. Kita juga perlu mengawal atau mengurangkan pengambilan makanan atau minuman yang tinggi kandungan gula dan garamnya.


5. Membina ayat yang lengkap

Berdasarkan idea utama, bina ayat yang lengkap iaitu ayat yang mengandungi subjek [S] dan predikat [P].

vi. Makan dalam keadaan selesa dan tenang
[S] [P]
vii. kita perlu makan pada masa yang sesuai.
[S] [P]
x. kita mesti memastikan bahawa jadual makan perlu teratur
[S] [P]
kita wajar makan dalam kuantiti yang sedikit untuk kekal sihat.
[S] [P]
xii. Makan setelah kita berasa lapar.
[S] [P]
xiv. Kita perlu mengambil sayur-sayuran hijau dan buah-buahan
[S] [P]
xvii. pengambilan makanan yang segar amat penting
[S] [P]
xviii. Kita juga perlu mengawal atau mengurangkan pengambilan makanan
[S] [P]
atau minuman yang tinggi kandungan gula dan garamnya.

Nota: Ayat (xviii) merupakan ayat yang disalin bulat-bulat daripada petikan asal. Dalam hal ini, calon mestilah melakukan salah satu daripada dua proses untuk memastikan mereka tidak dianggap menyalin bulat-bulat sama ada proses penambahan penanda wacana atau pengguguran perkataan.

Proses penambahan penanda wacana

xviii. Seterusnya, kita juga perlu mengawal atau mengurangkan pengambilan makanan atau minuman yang tinggi kandungan gula dan garamnya.
(penambahan perkataan seterusnya)


Proses pengguguran perkataan

xviii. Kita perlu mengawal atau mengurangkan pengambilan makanan
atau minuman yang tinggi kandungan gula dan garamnya.
(pengguguran perkataan juga)


6. Menulis ringkasan

Untuk memulakan jawapan ringkasan, rujuk semula tugasan soalan iaitu

Berdasarkan petikan di bawah, tulis sebuah ringkasan tentang amalan-amalan baik dalam pemakanan. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan.

Tugasan : Amalan-amalan baik dalam pemakanan

Daripada tugasan di atas, mulakan jawapan dengan ayat

Antara amalan baik dalam pemakanan ialah...

(Antara amalan-amalan adalah salah kerana kata ’antara’ sudah menunjukkan jamak)

Mulakan skrip ringkasan anda dengan menyalin LIMA idea utama seperti yang berikut:

Antara amalan baik dalam pemakanan ialah makan dalam keadaan selesa dan tenang. Kita perlu makan pada masa yang sesuai. Kita mesti memastikan bahawa jadual makan perlu teratur. Kita wajar makan dalam kuantiti yang sedikit untuk kekal sihat. Makan setelah kita berasa lapar.
[42 patah perkataan]

Sekiranya jumlah perkataan belum mencapai 80 patah perkataan setelah calon menulis lima isi, teruskan menulis isi seterusnya sehingga menghampiri 80 patah perkataan.

Antara amalan baik dalam pemakanan ialah makan dalam keadaan selesa dan tenang. Kita perlu makan pada masa yang sesuai. Kita mesti memastikan bahawa jadual makan perlu teratur. Kita wajar makan dalam kuantiti yang sedikit untuk kekal sihat. Makan setelah kita berasa lapar. Kita perlu mengambil sayur-sayuran hijau dan buah-buahan. Pengambilan makanan yang segar amat penting. Seterusnya, kita juga perlu mengawal atau mengurangkan pengambilan makanan atau minuman yang tinggi kandungan gula dan garamnya
[72 patah perkataan]

No comments:

Post a Comment