KATA-KATA HIKMAT
Mewujudkan sistem pendidikan yang terbaik untuk menghasilkan insan yang mempunyai daya ketahanan tinggi bagi memenuhi inspirasi dan kehendak individu, masyarakat dan negara.
Memikirkan tentang pendidikan adalah memikirkan tentang isu-isu utama dalam kehidupan manusia…
Memikirkan tentang tujuan-tujuan pendidikan pula memikirkan tentang rupa bentuk wajah manusia, jenis keterampilan, jenis matlamat yang paling sesuai untuk menjaminkan kesejahteraan social dan kualiti tamadun bangsa.
Sayugia juga kita insafi bahawa peranan untuk menjayakan matlamat pendidikan bukan hanya terletak di atas pundak guru tetapi ibu bapa, masyarakat dan semua agensi turut terlibat bagi menjayakan program pendidikan. Kita perlu wujudkan satu rangkaian muafakat pendidikan yang melibatkan ibu bapa, komuniti dan pihak-pihak lain.
Apabila kita memikirkan mengenai matlamat pendidikan, kita sebenarnya memikirkan apakah jenis manusia, apakah jenis kebolehan, apakah jenis matlamat yang paling unggul untuk masyarakat dan untuk penghidupan dalam tamadun yang bermutu.
Kita semua berkehendakkan kebajikan dan tiada berkehendakkan akan kejahatan. Kita ingin hendak membaiki segala hal ehwal kita yang kekurangan sama ada pada dunia dan pada agama, hendak mengubah segala sifat-sifat keadaan kita yang tiada baik atau yang kurang baik ditukar dengan yang baik dan yang terlebih baik. Kita hendak mengganti segala hal-hal yang kita mundur dan ketinggalan ditukar dengan yang maju dan mara mengikut zaman. Kita hendak mengganti segala fikiran kita yang kuno dan kolot, dan segala kepercayaan dan pegangan kita yang telah lapuk dan reput ditukar dengan fikiran-fikiran dan kepercayaan yang sesuai dengan ujian akal dan siasatan ilmu pengetahuan yang maju.Kita mahu pembaharuan dan pemulihan, bukan menyimpan perkara yang telah berkulat dan bercendawan tetapi jika kita tiada pengetahuan, dan tidak bergantung kepada diri sendiri mencari pebgetahuan itu serta menggunakannya apabila telah diperoleh – tidak memakai ilmu sendiri, dan timbang akal sendiri bersaing dengan pengetahuan itu – maka di manakah kita boleh dapat sekalian yang kita kehendakkan dan kita cita-citakan ini? – Pendeta Zaa’ba
Ilmu Allah ini ibarat lautan yang tidak bertepi. Mengetahui rahsia Allah ibarat meletakkan anak jari di lautan , air yang melekat di jari itulah sedikit rahsia yang manusia tahu tentang kebesaran Allah.
Firman Allah S.W.T. yang bermaksud :
‘’Katakan (Muhammad): Kalaulah lautan itu diumpamakan sebagai dakwat untuk menulis kalimat TUHANku, sudah pasti lautan itu akan kering sebelum sempat menghabiskan catatan kalimat TUHANku walaupun engkau membawa dakwat umpama lautan itu berulang kali.
- surah al-kahfi: 109
Dalam pendidikan perlu ada nilai-nilai teras yang bersifat fundamental seperti amanh, jujur, ikhlas, rajin hormat-menghormati, tolak-ansur, sedrhana, adil, sopan-santun, benar dan bijaksana. Nilai-nilai teras di samping nilai-nilai tambahan dan kembangan harus disuburkan secara kreatif dan bijaksana. Sifat nilai harus merentasi kurikulum dan kokurikulum dan mampu diterjemahkan dalam amal.
Guru atau pendidik merupakan fokus utama dalam penerapan nilai. Murid atau pelajar mengalami proses perpindahan ilmu, maklumat dan keterampilan. Matlamat akhir pendidikan ialah berlakunya transformasi diri dan penitipan adab kepada diri pelajar. Pada diri guru harus ada sifat-sifat pendidik yang tinggi, dan melihat proses didik sebagai proses bina insane.
No comments:
Post a Comment