Monday, May 24, 2010

Rumusan

Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian buat satu rumusan tentang kepentingan sektor pertanian di negara kita dan kekangan yang dihadapi untuk memajukan sektor tersebut.. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi daripada 120 patah perkataan.

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah menggarisi beberapa strategi dan langkah yang disifatkan oleh menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai usaha untuk mencergaskan sektor pertanian semula. Sektor pertanian dilihat sebagai (1) sektor yang menjanjikan pulangan lumayan di samping menjadi wahana dalam usaha (2) merapatkan jurang pendapatan antara penduduk desa dan bandar. Adalah menjadi impian kerajaan bahawa menjelang tahun 2020 , negara kita bukan sahaja maju dalam sektor industri di bandar malahan maju dalam industri pertanian di desa. Semua agensi berkaitan dengan petani, penternak dan nelayan perlu melipatgandakan usaha bagi membuktikan bahawa pertanian bukannya sektor ‘lembab’ yang sebelum ini sering dikaitkan dengan kemiskinan.

Sektor pertanian mampu (3) mengurangkan kebergantungan Malaysia kepada negara asing untuk mendapatkan bekalan makanan. Perbelanjaan mengimport makanan sebanyak RM 4.3 bilion setahun merupakan satu angka yang besar. Jumlah ini boleh disalurkan untuk program-program lain yang boleh dimanfaatkan oleh seluruh rakyat Malaysia. Sektor pertanian kini berpotensi (4) meningkatkan eksport barangan makanan lantas dianggap salah satu (5) enjin pertumbuhan ekonomi negara selain sektor pembuatan dan perkhidmatan. Mungkin tidak ramai yang menyedari bahawa negara mempunyai pasaran sebesar RM 18 bilion untuk produk seperti perasa, makanan dan minuman berasakan hasil tani serta herba. Kerajaan begitu bersungguh-sungguh untuk mengembangkan sektor pertanian dengan (6) menyediakan banyak peluang pekerjaan yang berkaitan dengan sektor ini. Jawatankuasa Peningkatan dan Mempelbagaikan Pendapatan Petani,Penternak dan Nelayan telah ditubuhkan bagi mencari jalan mempelbagaikan kegiatan ekonomi dan peluang pekerjaan kepada rakyat.

Hala tuju kerajaan adalah untuk mentransformasikan sektor pertanian negara. Antara langkah yang telah diambil adalah dengan mengamalkan kaedah pertanian terkini melalui aplikasi teknologi moden di samping penemuan melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D).Langkah juga diambil untuk menjadikan negara sebagai pusat pemprosesan, pembungkusan dan pemasaran hasil pertanian ke pasaran global. Skim penggalakan ladang juga dilaksanakan bagi menggalakkan petani dan penternak mempraktikkan amalan pertanian yang baik. Sektor pertanian menjadi semakin penting kerana mampu (7) meningkatkan dan meluaskan penggunaan bioteknologi. Sebuah makmal yang menjalankan penyelidikan bioteknologi telah ditubuhkan di Institut Penyelidikan Pertanian Malaysia (MARDI). Kemajuan dalam bidang pertanian juga bermakna (8) pengurusan persatuan-persatuan nelayan kawasan (PPN) dan pertubuhan peladang kawasan (PPK) ditadbir secara lebih sistematik agar lebih berkemampuan mengemudikan projek-projek pertanian komersial.

Sudah sampai masanya para petani menjayakan program Amalan Pertanian Baik (APB) yang telah dilancarkan oleh pihak kerajaan. Sebagai sebuah negara yang tanahnya subur dan sesuai untuk semua jenis tanaman, pengimportan makanan melebihi eksport tidak sepatutnya terus berlaku. Gagasan besar kerajaan ini hanya akan mencapai matlamat sekiranya golongan sasar sanggup mengubah sikap dan pemikiran dengan menggunakan kaedah, teknologi serta amalan pertanian yang disyorkan.

(Diubahsuaikan daripada rencana Asas Tani Bertunas oleh Laupa Junus, Utusan Malaysia , 31 Ogos 2004)

2 comments: