Sunday, May 2, 2010

KAJIAN MASALAH DISIPLIN DALAM KALANGAN PELAJAR: SEBAB DAN CARA MENGATASINYA.

1.0 Pendahuluan

Dewasa ini, kita dikejutkan dengan pelbagai berita berkaitan dengan kemerosotan disiplin dalam kalangan pelajar sekolah di negara kita seperti yang disiarkan di media massa arus perdana. Hal ini telah menimbulkan keresahan anggota masyarakat terutama sekali ibu bapa, pihak sekolah dan pemimpin negara. Memang tidak dinafikan bahawa gejala kemerosotan disiplin atau tingkah laku pelajar sekolah sering dikaitkan dengan teori psikologi perkembangan remaja. Remaja dalam lingkungan umur antara 12 hingga 18 tahun dianggap sebagai masa yang kritikal dalam peringkat perkembangan manusia.

Mead (dalam Marcia, 1980) berpendapat bahawa zaman remaja ialah satu transisi dari zaman kanak-kanak ke alam dewasa. Pada waktu ini, pelbagai konflik berlaku ekoran daripada halangan-halangan yang berlaku ke atas diri mereka dalam mencari identiti. Sebaliknya konflik tidak akan berlaku sekiranya harapan dan segala kemahuan mereka dipenuhi. Rogers (1951) menyatakan bahawa konsep kendiri akan mempengaruhi tingkah laku. Oleh hal yang demikian, jika seseorang remaja mempunyai kendiri yang rendah akan menyebabkan mereka berkelakuan memencilkan diri atau agresif. Di samping itu, remaja yang mempunyai kendiri yang rendah cenderung dan akur kepada tekanan sosial, tiada keyakinan diri, terpinggir dan membuat penilaian yang salah dan bergantung kepada penilaian yang dibuat oleh orang lain berbanding dengan remaja yang mempunyai konsep kendiri yang tinggi.







1.1 Definisi Disiplin

Awang Had Salleh (1977) menyatakan bahawa umumnya orang menganggap disiplin sebagai ketenteraan dan pengawasan tingkah laku dengan kekerasaan, iaitu hukuman fizikal. Manakala Ee Ah Meng (1985) disiplin merupakan peraturan yang telah dipersetujui oleh sesuatu kelompok masyarakat bagi mewujudkan tingkah laku yang baik demi kesempurnaan kehidupan.

Ahli Pemikir moden berpendapat bahawa disiplin adalah pengawasan yang sepatut dibina dalam diri bagi mandapat cara hidup yang teratur dan sistematik supaya masa dan tenaga individu dapat digunakan sebaik mungkin.

Kesimpulannya, disiplin merupalkan konsep yang mempunyai pengertian yang yang luas dan mempunyai pelbagai tafsiran. Seterusnya, disiplin mempunyai kaitan dengan tatasusila, kesopanan dan akhlak. Pelajar yang berdisiplin sentiasa rasional, keyakinan diri dan mempunyai ketabahan hati, setia kepada sekolah dan negara. Seseorang yang berdisiplin beradab, sentiasa menjaga ketertiban, berakhlak mulia, mematuhi ajaran dan nilai-nilai agama dan kebudayaan yang dianuti.









1.2 Objektif
Objektif esei ini ialah;

i) Mengenal pasti sebab-sebab berlakunya kemerosotan disiplin dalam kalangan pelajar

ii) Mengenal pasti strategi-strategi yang kreatif dan inovatif dalam menangani masalah kemerosotan disiplin


2.0 Latar Belakang MRSM Kota Putra

MRSM Kota Putra yang terletak di Besut Terengganu telah mula beroperasi pada tahun 1998. Pengambilan pelajar yang pertama seramai 450 orang yang terdiri daripada pelajar tingkatan 4. Oleh sebab, permintaan pelajar untuk belajar di MRSM semakin bertambah pada setiap tahun maka MARA telah membina beberapa MRSM baru bagi menampung permintaan tersebut. Pada tahun 2003, MRSM Kota Putra telah telah mula mengambil pelajar tingkatan satu seramai 180 orang. Kini MRSM Kota Putra mempunyai 850 orang pelajar yang terdiri daripada pelajar tingkatan satu hingga tingkatan Lima. Pengetua MRSM Kota Putra sekarang ialah Hj Abdullah Bin Abdul Rahman. Ekoran pertambahan pelajar yang begitu ramai maka pelbagai prasarana telah dibina bagi memberi kemudahan kepada pelajar untuk menimba ilmu di sini.Mulai tahun 2009 MRSM Kota Putra mengorak langkah dengan memperkenalkan program baru iaitu hafazan Al-Quran dan Kemahiran Asas Tingkat 1 (KAT1). Nama MRSM Kota Putra juga turut mengalami perubahan dengan nama MRSM (Agama) sejajar degan program baru yang diperkenalkan.

Apabila sesebuah institusi itu ditubuhkan maka sudah pasti peraturan dan garis panduan dirancang dan didokumen bagi memastikan operasi dapat dijalankan mengikut panduan yang telah ditetapkan. Maka MRSM Kota Putra telah merangka beberapa peraturan dan garis panduan kepada pelajar agar kehidupan pelajar lebih selesa dan berkesan.
Terdapat beberapa peraturan dan garis panduan yang perlu dipatuhi oleh pelajar MRSM Kota Putra.


2.1 Matlamat dan etika pelajar
1. Mewujudkan iklim persekolahan dan pembelajaran yang selamat, bersih, segar dan prihatin
2. Membantu pelajar menguruskan diri dan masa mereka dengan berkesan
3. Membina budaya kerja cemerlang dan berakhlak mulia

2.2 Peraturan Pelajar

i) Peraturan kod pakaian
ii) Peraturan ke kelas persediaan
iii) Peraturan keluar ke bandar
iv) Peraturan balik bermalam
v) Peraturan dan tatatertib di asrama
vi) Peraturan am penginapan pelajar
vii) Peraturan keselamatan penggunaan peralatan elektrik di asrama
viii) Peraturan keselamatan diri/harta semasa kebakaran
ix) Keselamatan wang di asrama
x) Keselamatan Umum

2.3 Peraturan Disiplin Pelajar
Pada bila-bila masa pelajar ditegah dan dilarang daripada melakukan atau terlibat atau membiarkan dirinya terlibat secara langsung atau tidak dalam apa perbuatan atau aktiviti yang boleh ditafsirkan dan dibuktikan sebagai kesalahan disiplin atau melanggar tatatertib yang telah ditetapkan oleh pihak maktab.

2.3.1 Kesalahan disiplin kategori amat berat
Contoh: berzina, mengadakan hubungan luat tabie, merogol, mencabul kehomatan, mendera, menyimpan dan menjual dadah, merompak.
2.3.2 Kesalahan disiplin berat
Contoh: Menyimpan memiliki, mengedar jenis tembakau, Menyimpan memiliki, mengedar minuman keras, Menyimpan memiliki, mengedar bahan lucah, berkerjasama dengan pertubuhan haram, bergaduh, memalsukan dokumen, berjudi
2.3.3 Kesalahan disiplin sederhana berat
Contoh: menceroboh kawasan larangan, merosakkan harta benda sekolah, menipu, meniru dalam peperiksaan, bersubahat, memperagakan imej negatif, biadab, kelakuan tidak senonoh.


3.0 Punca Kemerosotan Disiplin Pelajar MRSM Kota Putra

3.1 Pihak Sekolah
Suhaili Hakim (2007) menyatakan bahawa sekolah juga penyumbang kepada masalah kemerosotan disiplin dalam kalangan pelajar sekolah jika tidak ditangani dengan bijaksana.


3.1.1 Pengajaran dan Pembelajaran Guru yang Membosankan

Gejala kemerosotan disiplin dalam kalangan pelajar sekolah sering dikaitkan dengan pengajaran dan pembelajaran (selepas ini ditulis P&P) yang membosankan. Memang tidak dinafikan bahawa guru yang tidak membuat persediaan yang rapi, pengajaran yang tidak menyeronokkan kurang mendapat perhatian pelajar tambahan pula pengajaran yang berpusatkan guru mencetuskan kebosanan dalam kalangan pelajar ketika P&P berlaku. Keadaan ini menyebabkan berlaku gangguan dalam P&P. Sebagai contoh, jika pelajar tidak memberi perhatian semasa P&P, guru akan mengambil tindakan dengan mendenda pelajar berkenaan seterusnya pelajar berkenaan akan bertindak ponteng kelas, ponteng sekolah dan menganggu rakan mereka sedang belajar. Jika tindakan guru lebih keras kemungkinan, pelajar berkenaan akan menyimpan dendam terhadap guru berkenaan. Malah yang lebih teruk lagi, pelajar berkenaan bertindak lebih agresif dengan merosakkan harta benda guru dan mencederakan dan memukul guru berkenaan.

3.1.2 Keadaan Fizikal Bilik Darjah

Persekitaran dan keadaan fizikal bilik darjah yang tidak kondusif mendorong kepada masalah pelanggaran disiplin oleh pelajar. Misalnya, keadaan kelas yang kekurangan kemudahan seperti kipas siling, lampu yang tidak berfungsi, tingkap, pintu yang rosak akan menyebabkan pelajar berasa rimas dan tidak selesa malah suasana kelas yang kurang ceria menyumbang kepada masalah ini. Tambahan pula, bilangan pelajar yang terlalu ramai dalam sesebuah kelas menyebabkan ketidakselesaan dalam proses P & P menyumbang kepada kemerosotan disiplin dalam kalangan pelajar.

3.2 Keluarga
Masalah disiplin juga disebabkan faktor keluarga. Pendidikan anak-anak bermula dari rumah. Sikap ibu bapa kurang memberi perhatian dan kurang memberi kasih sayang kepada anak-anak serta ibu bapa yang mementingkan kerjaya iaitu sibuk denga kerjaya akan mendorong kepada kemerosotan disiplin. Selain itu, ada sesetengah keluarga juga yang sarat dengan konflik dan kurang interaksi dengan anak-anak menjadi penyumbang kepada masalah disiplin dalam kalangan pelajar.

Faktor sosioekonomi keluarga juga menjadi penyumbang kepada masalah disiplin. Misalnya, kemiskinan menyebabkan anak-anak terlibat dengan kes mencuri di sekolah kerana pelajar inginkan sesuatu seperti pelajar daripada golongan berada. Di samping itu, anak yang sering didera sama ada secara fizikal atau mental menyebabkan emosi pelajar tidak stabil. Ekoran daripada masalah yang berlaku dalam keluarga akan menyebabkan pelajar akan membawa masalah ini ke sekolah.

Terdapat ibu bapa yang mengongkong anak-anak iaitu tidak memberi peluang kepada anak-anak membuat keputusan seperti tidak membenarkan anak-anak keluar dari rumah kecuali bersama-sama mereka. Hal ini akan mencetuskan keresahan dalam kalangan pelajar.

Keluarga yang porak-peranda seperti berlaku pergaduhan, perceraian dalam keluarga menyebabkan berlakunya masalah disiplin dalam kalangan pelajar. Misalnya, ibu bapa sering bertengkar menyebabkan anak berasa bosan berada di rumah seterusnya anak akan mencari jalan penyelesaian di sekolah dengan cara yang salah iaitu melanggar disiplin. Konflik antara anak-anak dan ibu bapa di rumah menyebabkan anak-anak bersikap ganas. Oleh itu, mereka ingin mencari kebebasan di luar rumah dan akan terbawa-bawa ke sekolah. Keadaan menjadi lebih kronik apabila berlakunya penderaan, lari dari rumah, melakukan jenayah serta menyisihkan diri daripada keluarga dan masyarakat.

3.3 Masyarakat

Pengaruh sosial juga boleh menyumbang kepada masalah disiplin dalam kalangan pelajar. Pelajar yang merasakan bahawa kehadiran mereka dalam masyarakat tidak penting malah menyusahkan masyarakat akan mendorong mereka ke kancah yang tidak bermoral. Misalnya, remaja yang tidak mendapat perhatian daripada masyarakat akan mendorong ke arah yang negatif iaitu menyertai kumpulan subersif seperti ’skinhead, blachmetal, punk dan sebagainya. Ekoran daripada itu, meraka akan bersatu seterusnya melakukan perbuatan yang salah di sisi undang-undang negara seperti ragur, rompak, buli dan sebagainya.
Menurut Omardin Ashaari (1996) masalah disiplin pelajar merupakan kesan yang timbul dari faktor luaran yang wujud di persekitaran mereka. Pengaruh luaran seperti budaya lepak di pusat beli-belah punca pelajar kurang minat terhadap pelajaran dan melakukan tingkah laku negatif di dalam bilik darjah. Pergaulan dengan golonga belia yang lebih tua daripada mereka sering menjerumuskan terhadap kegiatan kurang sihat.

3.4 Rakan Sebaya

Rakan sebaya merupakan orang yang paling dekat dengan pelajar. Tidak hairanlah bahawa rakan merupakan tempat pelajar berkongsi idea, pengalaman dan meluah perasaan. Malah rakan dianggap sebagai pelengkap kepada perkembangan seseorang pelajar sama ada menjurus kepada tingkah laku yang positif atau negatif. Tanpa rakan sebaya seseorang tidak akan mendapat maklum balas mengenai kesesuaian personaliti. Nilai murni seperti jujur, amanah, toleransidapat dipelajari daripada rakan sebaya. Pengaruh negatif daripada sebaya juga tidak kurang hebatnya seperti lepak, bohsia, bohjan, menghisap rokok, dadah dan sebagainya mempengaruhi remaja. Keadaan ini menimbulkan masalah disiplin pelajar jika tidak ditangani dengan bijaksana.

3.5 Media Massa
Seperti yang sedia maklum, pada masa kini syarikat penerbitan berlumba-lumba menerbitkan bahan untuk tatapan penonton dan pembaca. Kita didedahkan dengan rancangan di kaca televisyen yang menarik dan menghiburkan malah di intenet juga tidak kurang hebatnya dan kita akan lebih teruja apabila melayarinya. Bahan yang diterbitkan mempunyai beberapa tujuan sama ada bertujuan untuk mendidik, mengajar, menambah pengetahuan, hiburan dan sebagainya. Penerbitan ini memberi impak yang negatif dan positif kepada remaja khususnya pelajar sekolah. Mengikut teori komunikas, media massa mempunyai pengaruh yang kuat terhadap pelajar terutama mereka yang menonton televisyen lebih daripada empat jam. Apabila pelajar sudah terpengaruh menyebabkan mereka cuba mengaplikasi kepada rakan mereka dengan tindakan yang bertentangan dengan peraturan dan norma-norma yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah,




4.0 Strategi Kreatif Menangani Kemerosotan Disiplin Pelajar

4.1.1 Memperkasa Bidang kokurikulum
Bidang kokurikulum sebagai agen pengimbang dalam sistem pendidikan yang bertujuan untuk mengembangkan potensi dan bakat serta minat pelajar selaras dengan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) iaitu bagi melahirkan pelajar yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi, jasmani. Yang pada akhirnya untuk menghasilkan modal insan yang mempunyai minda kelas pertama.
Bidang kokurikulum yang dibahagikan kepada tiga komponen iaitu persatuan, sukan dan badan uniform sudah pasti dapat melahirkan pelajar yang berbakat dan berpotensi seterusnya melahirkan pelajar yang mempunyai sahsiah yang terpuji.
Penglibatan pelajar dalam kokurikulum khususnya badan uniform yang menekankan pembentukkan disiplin diri pelajar. Pelajar dilatih dengan ketepatan masa, mematuhi arahan ketua, sentiasa bersedia dan semangat juang serta kerjasama yang tinggi mampu membendung pelajar daripada terjerumus ke kancah kesalahan disiplin. Melalui aktiviti bersukan, penekanan diberi terhadap kekuatan fizikal dan mental. Pelajar akan didedahkan dengan teknik dan kaedah yang membolehkan pelajar mempunyai tahap kesihatan yang baik seterusnya melahirkan generasi yang mempunyai badan yang cergas dan minda yang cerdas. Oleh itu, dengan memperkenalkan dan memperkasakan kokurikulum mampu menangani salah laku dalam kalangan pelajar.

4.1.2 Bersama Guru Bimbingan dan Kaunseling

Zaman remaja dikatakan sebagai suatu zaman anak muda mengharungi pelbagai cabaran dan dugaan yang hebat. Mereka yang mempunyai semangat daya juang dan daya saing yang tinggi serta diperkukuhkan dengan didikan agama yang sempurna sahaja mampu melawan segala cabaran tersebut. Oleh itu, peranan kaunselor pelajar memainkan peranan untuk menerapkan daya juang dan daya saing dalam diri pelajar untuk menangani masalaha disiplin pelajar. Kaunseling dan bimbingan adalah proses terbaik kerana mereka lebih mengutamakan kebajikan pelajar, keselamatan, bersikap adil dan bertanggungjawab merahsiakan segala maklumat pelajar yang bermasalah agar pelajar yang bermasalah berubah tingkah laku seterusnya menjadi contoh kepada pelajar lain. Unit kaunseling sekolah menganjurkan program terhadap pelajar bermasalah seperti kem jati diri, kem motivasi, kem kepimpinan dan sebagainya. Melalui program ini membolehkan pelajar mempunyai jati diri yang tinggi, sahsiah yang tinggi, dan daya saing dan daya juang yang tinggi.

4.1.3 Kelab Pencegahan Jenayah

Untuk menangani kemerosotan disiplin juga, pihak sekolah menubuhkan kelab pencegahan jenayah dengan bantuan pihak polis dan NGO yang berkaitan. Ahli-ahli kelab terdiri daripada pengawas. Kelab ini dapat membantu guru atau warden membuat rondaan di asrama dan di kelas. Mereka sebagai mata dan teliga kepada pihak sekolah dan pihak polis. Dengan ini, masalah disiplin dalam kalangan pelajar dapat diatasi.

4.1.4 Peranan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG)

Setiap sekolah mempunyai PIBG, jadi pihak sekolah boleh berganding bahu dengan PIBG menangani masalah displin, Mereka perlu diberi penjelasan dan kefahaman mengenai peraturan dan garis panduan yang berkaitan dengan gejala disiplin mengikut keperluan dari semasa ke semasa. Sekiranya berlaku salah laku disiplin, ibu bapa bertanggungjawab terhadap anak-anak masing-masing dan tidak menunding jari kepada pihak sekolah ataupun membiarkan pihak sekolah mengatasinya secara bersendirian. Ibu bapa juga perlu perkukuhkan dengan didikan agama yang secukupnya terhadap anak-anak melalui penilaian KAFA atau pendidikan moral. PIBG juga boleh menganjurkan kursus atau seminar kemahiran keibubapaan kepada ibu bapa dalam mendidik anak-anak. Oleh itu, peranan yang dimainkan oleh PIBG sangat penting bagi memastikan ibu bapa cakna terhadap sekolah dan pelajar seterusnya masalah disiplin dapat ditangani dengan berkesan.

4.1.5 Minggu Kesihatan dan Pendidikan Kesihatan

Program yang dianjurkan dengan kerjasama pejabat kesihatan ini sangat penting terhadap pelajar kerana melalui program ini pelajar akan diterapkan dengan ilmu kesihatan khususnya ilmu penjagaan diri, selain ilmu yang diajarkan di dalam kelas melalui pendidikan Islam dan pendidikan moral.

4.1.6 Kursus Kepimpinan Pelajar

Kursus ini diadakan setiap tahun di sekolah-sekolah yang bermatlamatkan melahirkan insan yang mempunyai daya kepimpinan yang unggul. Kursus ini boleh diadakan dengan kerjasama Biro Tatanegara. Melalui kursus ini pelajar akan didedahkan dengan kaedah untuk melahirkan ciri-ciri pemimpin yang berwibawa dan karismatik . Selain pengawas, kursus yang dianjurkan oleh BTN ini juga boleh disertai oleh pelajar yang bermasalah dengan menggunakan pendekatan dan modul yang berbeza seperti untuk memupuk jati diri, sahsiah terpuji dan sebagainya. Kursus ini pernah diadakan di beberapa buah MRSM dan MARA yang bermatlamatkan untuk melahirkan jati diri yang unggul dalam diri pelajar.

4.1.7 Ponteng Sifar
Kempen ponteng sifar juga adalah salah satu program yang boleh menangani masalah disiplin dalam kalangan pelajar. Kempen ini boleh dilaksanakan melalui seminar, bengkel dan kursus malah sebaik-baiknya mendapat kerjasama dengan pihak RELA, polis, masyarakat setempat dan NGO.

4.1.8 Melaksanakan Sistem fail Disiplin Sekolah

Setiap minggu, Lembaga Disiplin Pelajar (LDP) mengadakan mesyuarat untuk mendapat maklum balas bagi penambaikkan dan memantapkan fail disiplin sekolah. Pelajar yang melakukan kesalahan disiplin serius atau berulang kali, ibu bapa akan dipanggil oleh pihak sekolah untuk menjadi saksi semasa membuat akur janji tidak melakukan kesalahan yang berulang dan disaksikan oleh pengetua dan ibu bapa. Manakala hukuman bergantung kepada budi bicara guru disiplin atau pengetua sekolah. Sebelum hukuman dijatuhkan, LDP akan meyiasat kes tersebut secara terperinci dan jika didapati ada bukti kes maka pelajar tersebut akan dijatuhkan hukuman yang setimpal. Pelajar tersebut diberi peluang untuk membela diri seterusnya mengemukakan rayuan bertulis. Akhir sekali, setiap pelajar yang melakukan kesalahan disiplin akan dicatat kesalahannya di dalam fail disiplin sekolah.

4.1.9 Semua Guru Adalah Guru Disiplin

Teradapat dalam kalangan guru yang kurang mengambil berat terhadap masalah kebajikan dan disiplin pelajar dengan menganggap soal disiplin adalah tanggungjawab guru disiplin dan kaunselor sahaja. Tanggapan begini menyebabkan punca berlakunya salah laku pelajar sukar dikenalpasti sedangnkan penyelesaian dalam masalah disiplin perlu disegerakan.



5.0 Cadangan Langkah Pemantapan Disiplin di MRSM Kota Putra

5.1 Suburkan Amalan Keagamaan

Falsafah Pendidikan Kebangsaan menetapkan asas yang cukup mantap sebagai saksi pembangunan insan iaitu pembinaan kesucian rohani serta faktor kepercayaan kepada tuhan. Dengan kata lain, budaya beragama mesti disuburkan dalam setiap aktiviti pendidikan sama ada dalam bidang kokurikulum dan kurikulum. Matlamatnya tidak lain tidak bukan untuk pembinaan dan pengukuhan akidah kerana kerohanian akan membantu pembentukan akhlak mulia seseorang pelajar. Dengan itu, terjelmalah tanggungjawab moral dan sikap mulia dalam setiap aspek kehidupan pelajar.

5.2 Kaji Semula Hukuman

Omardin Ashaari (1996) menyatakan bahawa hukuman berbentuk deraan fizikal menimbulkan rasa kecewa malah lebih bermasalah daripada membantu proses pembelajaran. Malah, hukuman berbentuk deraan mendatangkan kesan lebih buruk seperti timbul perasaan dendam terhadap pihak sekolah. Memang tidak dinafikan bahawa kaedah denda yang diamalkan mampu mengatasi masalah disiplin pelajar. Namun, hukuman yang terbaik ialah dengan memberi kesedaran kepada pelajar terhadap kesalahan yang dilakukan seperti mengadakan perbincangan dengan ibu bapa, lawatan ke rumah dan sebagainya.

5.3 Pengurusan dan Kepimpinan Yang Berwibawa
Pengurusan dan kepimpinan yang berwibawa menggerakkan organisasi bagi menjalankan tugas seterus mencapai matlamat dan objektif. Pemimpin perlu memiliki sahsiah dan akhlak yang terpuji untuk menjadi suri teladan kepada pelajar supaya kita dikatakan ’ guru kencing berdiri, murid kencing berlari’. Pemimpin juga perlu mengamalkan dasar pintu terbuka iaitu sedia mendengar, menerima pandangan dan kritikan serta mengamalkan amalan muafakat dan musyawarah dalam membuat sesuatu keputusan.

5.4 Menapis dan Mengawal Media Massa

Antara cabaran yang terbesar yang mendepani para pelajar masa kini ialah corak rangsangan yang diterima sama ada melalui media cetak atau media elektronik. Tambahan pula, dasawarsa ini perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi khususnya internet yang dikenali sebagai lebuh raya maklumat dan dunia tanpa sempadan merupakan penyumbang kepada salah laku pelajar. Oleh itu, pihak kerajaan perlu menapis dan mengawal bahan yang disiarkan dan diterbitkan ini kerana boleh merosakkan akidah, minda, gaya hidup pelajar. Sekiranya kawalan dan tapisan ini tidak dilaksanakan dengan baik maka segala usaha yang dilakukan oleh pihak sekolah dan ibu bapa untuk menangani masalah disiplin pelajar menjadi sia-sia.

5.0 Kesimpulan

Akhirulkalam, dapatlah dikatakan bahawa salah laku dalam kalangan pelajar masa kini didorong oleh beberapa faktor seperti iklim bilik darjah, rakan sebaya, persekitaran, media massa dan sebagainya.

Guru merupakan golongan yang sering mendapat perhatian masyarakat maka rebah bangun merekalah menjadi barisan hadapan dalam menangani masalah disiplin dalam kalangan pelajar. Namun begitu, peranan ibu bapa tidak boleh diketepikan kerana pendidikan itu bermula dari rumah malah hadis nabi ada menyatakan bahawa ’anak-anak ibarat kain putih ibu bapalah yang mencorakkannya sama ada ingin menjadi majusi dan nasrani’. Walau bagaimanapun, pihak lain juga berperanan dalam menangani masalah ini seperti media, masyarakat dan sebagainya.

Bibliografi

1. Awang Had Salleh, 1977, Bumiputera Dalam Pendidikan Sebuah Tinjauan Dari Konsep Pendemokrasian Peluang Pelajaran, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur

2. Dewan Siswa, Julai 2007, Dawama Sdn Bhd, Ampang Selangor

3. Ee Ah Meng, 1985, Pedagogi Untuk Guru, Fajar bakti, Petaling Jaya

4. Gragey, William, 1970, The Psychology of Diciplines, University of London, London

5. Marcia, J.E, 1980, “Identity in Adolescene”. Handbook of Adolescent psychology of Being, New York

6. Muhd Mansur Abdullah, Siti Nordinar Mohd Amin, 1988, Psikologi Remaja, Fajar Bakti, Petaling Jaya

3 comments:

  1. salam. mohon share info tuan. TQ

    ReplyDelete
  2. terbaik cikgu! saya jadikan rujukan assignment saya yer.

    amzar spm 2013

    ReplyDelete
  3. Artikelnya sangat bagus, Sudah Di Shared
    Coba baca juga artikel menarik lainnya :

    Agen SBOBET

    Parlay Bola Jalan

    Agen Poker IDN

    Casino GD88

    DAFTAR CASINO GD88

    ReplyDelete