Monday, May 24, 2010

Rumusan

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang sebab-sebab graduan universiti menganggur dan kesan-kesan pengangguran tersebut. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Saban tahun beribu-ribu orang graduan dilahirkan oleh universiti awam dan swasta di negara kita. Namun, bilangan tenaga kerja yang menganggur dalam kalangan graduan juga semakin bertambah lantaran tidak banyak kekosongan jawatan yang diiklankan untuk mereka. Walaupun kita tidak menafikan ada graduan yang memperoleh pekerjaan namun mereka ini acapkali menyuarakan rasa tidak puas hati dengan suasana dan bentuk pekerjaan mereka. Apabila keadaan sebegini berlaku, banyak pihak yang menuding jari kepada graduan sendiri sedangkan kemungkinan banyak pihak lain yang turut berperanan menyumbang ke arah fenomena yang tidak menarik ini.

Sudah banyak perdebatan diadakan untuk membincangkan isu ini. sama ada di media cetak mahupun di media elektronik. Namun, masalah yang sama tetap berulang tanpa jalan penyelesaian yang konkrit. Usaha memartabatkan graduan semula masih pada tahap kabur. Dengan perkembangan pesat kehidupan hari ini yang dilingkari oleh pelbagai tuntutan yang mencabar, graduan yang kurang kemahiran berkomunikasi dan kurang kemampuan berfikir sudah pasti tidak mampu untuk menguasai hambatan-hambatan menimba pengalaman hidup yang semakin mencabar. Tekanan ini ditambah pula oleh tanggapan-tanggapan negatif yang dilemparkan oleh masyarakat terhadap mereka.

Banyak pihak terutama yang terlibat dalam bidang pekerjaan nampaknya sentiasa memberi pelbagai dalih dalam menawarkan pekerjaan kepada graduan lebih-lebih lagi kepada mereka yang dilihat kurang berinisiatif semasa ditemu duga. Graduan sebenarnya kekurangan pengalaman dan mereka sebenarnya ‘tersepit’ tanpa jalan keluar yang pasti. Dalam arus globalisasi kini, bahasa Inggeris begitu dipentingkan berbanding dengan bahasa-bahasa lain. Masyarakat kita terutama para graduan perlu menyedari hakikat ini.Sekiranya mereka tidak menguasai bahasa ini sebaiknya di samping tidak mempunyai peluang untuk mengikuti latihan dalam pekerjaan, mereka akan terkapai-kapai atau teraba-raba dalam mengemudi hidup demi masa depan yang lebih baik. Graduan perlu diberi peluang menonjolkan kebolehan mereka menerusi latihan pekerjaan. Kita seboleh-bolehnya perlu menghentikan pengambilan pekerja-pekerja asing terutama pakar-pakar bidang tertentu yang dilihat semakin cenderung menguasai alam pekerjaan di negara kita. Persepsi terhadap bidang pekerjaan dalam bidang perladangan, pertanian dan perindustrian oleh para graduan sendiri perlu diubah.

Graduan ialah bakal pemimpin yang akan mencorakkan masa depan negara. Berilah peluang untuk mendapatkan pengalaman dan menyerlahkan kebolehan mereka seperti yang pernah diungkapkan oleh ahli pemikir terkenal,Ibnu Khaldun iaitu ‘aku mengenal diriku dan orang lain juga tahu tentang diriku’.


(Diubahsuaikan daripada Persepsi Masyarakat Punca Graduan Semakin Tertekan oleh Norhaidi Mohd Nordin, Berita Harian 6 Julai 2004)

No comments:

Post a Comment