Baca petikan di bawah dengan teliti.Berdasarkan petikan tersebut, tulis suatu ringkasan tentang kepentingan disiplin dalam kehidupan kita. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.
Disiplin merupakan perkara yang amat penting bagi seseorang pelajar. Disiplin merupakan peraturan dan undang- undang yang perlu ditanam dalam jiwa seseorang pelajar itu ketika masih di peringkat kanak- kanak lagi. Maka kita dapat melihat bahawa di sekolah telah ada satu garis panduan yang mesti dipatuhi oleh seseorang pelajar.
Namun demikian disiplin di sekolah sering menjadi rungutan para pelajar yang inginkan kebebasan secara total. Pada hakikatnya, tanpa disiplin akan wujud keadaan kucar-kacir. Seorang pelajar yang berdisiplin akan menjadi insan yang mulia, mempunyai perasaan hormat- menghormati, tolong- menolong dan berperikemanusiaan.
Dalam negara yang mempunyai masyarakat berbilang kaum dan agama, sikap ini perlu disemai agar keharmonian hidup dapat dicapai. Sekiranya sikap ini tidak dipupuk sejak dari awal lagi, maka akan lahirlah perasaan mementingkan diri sendiri.Kita perlu ingat bahawa mungkin suatu hari nanti kita akan menghadapi masalah yang tidak diduga dan ketika itulah kita memerlukan pertolongan orang lain.Oleh sebab itu sekiranya kita sudi menolong orang, pasti suatu hari nanti orang akan sudi menolong kita.
Begitu juga dalam pelajaran,tanpa disiplin maka pelajaran yang diajar oleh guru akan dianggap mudah sahaja dan latihan yang diberi tidak akan disiapkan.Cara yang mudah ialah meniru dan sekiranya sikap ini diteruskan,maka pelajar seperti ini akan gagal dalam peperiksaan kelak.Berbeza dengan pelajar yang berdisiplin,mereka akan meletakkan pelajaran sebagai keutamaan.
Seseorang pelajar yang berdisiplin tidak akan melibatkan diri dalam kegiatan yang tidak berfaedah dan hanya membuang masa seperti merokok,menagih dadah,mengamalkan budaya lepak,dan seumpamanya.Hanya pelajar yang berdisiplin sahaja mampu menolak unsur yang tidak sihat.
Lebih daripada itu,seseorang individu yang berdisiplin akan mempunyai matlamat yang pasti dalam hidupnya. Individu seperti ini tidak akan mudah terpengaruh dengan persekitaran dan tidak akan membiarkan pendiriannya dirobek oleh orang lain.Manusia seperti inilah yang mampu menumpahkan taat setia yang tidak berbelah bahagi terhadap nusa dan bangsa.
Jelaslah bahawa disiplin merupakan perkara utama yang perlu ditanam dalam jiwa setiap pelajar.Selain itu,tujuan disiplin diwujudkan di sekolah ialah untuk melahirkan pelajar yang berguna kepada agama,bangsa dan negara.
No comments:
Post a Comment