Monday, May 24, 2010

RUMUSAN

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang langkah-langkah yang diambil untuk mengatasi masalah bekalan air dan kesan-kesannya. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Apabila berlakunya krisis air di Lembah Klang, Majlis Air Kebangsaan telah ditubuhkan oleh kabinet pada 1 April 1998. Majlis ini bertujuan untuk mengawal dan mengurus sistem pembahagian air bagi memastikan bahawa negeri-negeri yang kering dapat memiliki bekalan air daripada negeri-negeri yang kaya air. Langkah kerajaan meningkatkan bayaran bil air di kawasan Lembah Klang selepas berlakunya krisis ini juga merupakan satu langkah yang positif.Melalui tindakan drastik ini sekurang-kurangnya masyarakat di kawasan ini akan menggunakan air dengan lebih jimat dan cekap. Langkah ini secara berperingkat akan dilaksanakan di seluruh negara tidak lama lagi.

Selain itu, pihak berkuasa juga boleh mengambil tindakan untuk membersihkan sungai-sungai yang tercemar supaya boleh diguna semula sebagai sumber air. Tidak dinafikan bahawa usaha ini akan menelan belanja yang besar, namun jika hasilnya memuaskan dan membawa manfaat kepada pengguna , maka tindakan itu bolehlah dijalankan.

Langkah seterusnya, pihak kerajaan khususnya Jabatan Bekalan Air(JBA) harus membaiki semua paip yang telah bocor dan rosak, secepat mungkin. JBA juga harus berusaha untuk meningkatkan taraf paip asbestos di kawasan bandar supaya tahan lebih lama. Menerusi tindakan tersebut, pihak yang mencuri air juga dapat dikesan dan diambil tindakan yang sewajarnya.Pihak kerajaan juga harus membuat penyelidikan yang terperinci untuk meningkatkan keberkesanan dalam pengagihan dan penggunaan air. Contohnya, di bandar raya Tokyo, air yang digunakan untuk mencuci tangan disalurkan semula supaya boleh diguna semula untuk menyimbah tandas. Penggunaan air yang cekap seperti ini harus dirancang dan dilaksanakan di negara kita.

Pembinaan empangan juga merupakan salah satu alternatif untuk mengatasi masalah krisis air ini. Empangan boleh digunakan untuk mengumpul air hujan dan disalurkan kepada orang awam ketika kecemasan. Contohnya, pembinaan empangan Kenyir dan Pedu, banyak membantu dalam penyaluran air untuk hasil pertanian semasa musim kemarau negara kita. Antara langkah lain ialah mengenal pasti kawasan kecil yang mempunyai sumber air bawah tanah. Air bawah tanah ini boleh digunakan ketika berlakunya krisis air.

Seterusnya, pihak kerajaan juga harus menggalakkan pengusaha air mineral mengurangkan kos pengeluaran mereka. Jika kos dapat dikurangkan , air mineral dapat dijual dengan harga yang lebih murah. Hal ini membolehkan orang ramai membelinya dan
menggunakannya sebagai sumber minuman ketika krisis air.
( Diubahsuaikan daripada Krisis Air oleh V.Sivarubini Dewan Siswa,Julai 2003)

No comments:

Post a Comment